Tuesday 9 August 2011

Pemilihan Murid Memasuki Kelas Prasekolah KPM bagi Sesi 2012



Pendaftaran Prasekolah SKTK sesi 2012 telah dibuka !


Sila hadir ke Kelas Prasekolah SK Telok Kemang untuk mendapatkan borang permohonan.
 Tarikh : Mulai 8 Ogos 2011
 Tarikh akhir hantar borang : 15 September 2011
 Sila bawa dokumen asal berikut semasa membuat permohonan :
 a) Sijil lahir / my kid kanak-kanak ( pemohon )
 b) Kad pengenalan Ibu-bapa/penjaga
 c) Slip gaji / penyata pendapatan bulanan


Keputusan  oleh Jawatankuasa Pemilihan adalah muktamad.
Keputusan pemilihan akan dihantar melalui pos kepada semua pemohon sebelum atau pada 20 November 2011.
Pendaftaran murid prasekolah akan dijalankan pada bulan Disember 2011 .




Syarat-Syarat kemasukan Ke Kelas Prasekolah KPM

Syarat-syarat bagi memasuki kelas prasekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia adalah seperti berikut :

i. Warganegara Malaysia Sahaja - Merujuk kepada peraturan-peraturan (penerimaan kemasukan murid ke sekolah rendah).

ii. Kanak-kanak yang mencapai umur 5 tahun pada hari pertama bulan Januari dalam tahun persekolahan semasa.

iii. Mengikut pendapatan perkapita berdasarkan pendapatan Garis Kemiskinan.

iv. Merit berdasarkan ranking pendapatan ibubapa/penjaga dari rendah ke tinggi. Kadar jumlah murid bagi setiap kelas ialah tidak lebih daripada 25 orang.

v. Proses pemilihan murid prasekolah KPM hendaklah dibuat oleh Jawatankuasa prasekolah.

Salam Ramadhan Al Mubarak

Salam Ramadhan Al Mubarak buat semua tetamu Blog Pra SK Telok Kemang , Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk mendidik dan memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak prasekolah tentang amalan berpuasa ,  dibulan Ramadhan tahun ini ramai juga murid prasekolah  yang berpuasa.. Sebagai orang yang lebih tua dari mereka wajar bagi kita untuk melatih anak- anak ini berpuasa..sedikit renungan untuk ibu-bapa dan guru....

Latih kanak-kanak berpuasa ikut kemampuan 
Sebuah hadis Nabi s.a.w. bermaksud: Diangkat pena itu kerana tiga perkara: Seorang kanak-kanak kecil sehingga dia dewasa, orang yang sedang tidur sehingga terjaga dan orang gila sehingga dia normal kembali. (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)
Makna diangkat pena itu ialah mereka tidak ditaklifkan atau dipertanggungjawabkan untuk menunaikan sebarang ibadat. Agama Islam menjaga sifat semula jadi manusia. Kanak-kanak harus dilatih sejak kecil lagi supaya mahir melakukan ibadat dan taat kepada Allah s.w.t..
Rasulullah bersabda yang bermaksud: Suruhlah anak-anakmu mengerjakan sembahyang ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka jika mereka enggan melakukannya ketika umur mereka sepuluh tahun. (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)
Puasa juga dikira ibadat dan kewajipan seperti sembahyang. Kita wajib melatih anak-anak menunaikan ibadat ini.
Tahap umur berapakah latihan ini mesti dilakukan? Tidak semestinya semasa umur kanak-kanak itu tujuh tahun kerana puasa lebih susah daripada sembahyang. Terpulanglah kepada kemampuan kanak-kanak tersebut.
Jika bapa atau penjaganya mendapati kanak-kanak itu sudah mampu berpuasa, bolehlah dia melatih anaknya berpuasa beberapa hari pada setiap bulan, setahun demi setahun. Misalnya dalam setahun dia melatihnya berpuasa sebanyak tiga hari, pada tahun yang lain selama seminggu, seterusnya dua minggu dan sehingga sebulan penuh. Apabila dia telah baligh, dan ditaklifkan berpuasa, dia tidak lagi susah untuk mengerjakan puasa kerana sudah biasa dan mahir.
Inilah cara Islam melatih kanak-kanak sejak dari kecil lagi dengan adab-adab Islam dan kewajipan-kewajipannya.
Seorang penyair berkata, maksudnya:
Adab itu bermanfaat semasa kecil, ia tidak memberi faedah lagi ketika telah dewasa.
Dahan yang lembut mudah teguh bila dilentur...
Dan akan menjadi keras (tidak lembut) bila ia telah menjadi kayu.
Ibu bapa dan penjaga hendaklah membiasakan anak-anak mereka, sama ada lelaki atau perempuan, berpuasa dan sembahyang. Sembahyang diajar ketika umur mereka tujuh tahun dan jika enggan bersembahyang pada umur sepuluh tahun mereka hendaklah dipukul.
Puasa pula dilatih ketika mereka mampu melakukannya walaupun umur melebihi tujuh tahun. Penjaga seperti ayahnya boleh menyuruhnya berpuasa.
 



Petikan dan Sumber:
Dr. Yusuf al-Qardawi, Fatwa Masa kini (Terjemahan 1 & 2), Pustaka Salam Sdn. Bhd..